RAMADAN sudah sampai ke penghujung. Tiada aral, esok atau lusa kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana diberi peluang menikmati keindahan Ramadan tahun ini. Tahun depan, entah sempat atau tidak.
Mungkin ketika ini sudah ramai yang telah pulang ke kampung halaman untuk beraya dengan ibu bapa dan keluarga mentua terutama yang jauh.
Seronoknya nenek dan datuk menyambut kepulangan anak menantu serta cucu. Riuh rendah rumah yang selalunya sunyi sepi.
Pastinya setiap daripada kita akan mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak menyambut raya di kampung.
Pelita, meriam buluh, mercun dan bunga api nostalgia yang sukar direnung kembali. Bagi yang perempuan, seronok mengenangkan saat membantu ibu memasak rendang dan merebus ketupat. Geli hati melihat ada yang terkial-kial belajar menganyam ketupat.
Yang paling indah saat menunggu pagi hari raya untuk mengenakan pakaian serba baru. Tidak lena tidur dibuatnya.
Anak-anak pula berulang kali menjenguk kasut dan pakaian baru di dalam almari, bimbang diambil orang. Kalau yang tua kalut di dapur menyediakan juadah.
Tidak tergambar kegembiraan kala berjalan beramai-ramai ke masjid untuk mengerjakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Gema takbir pasti menyentuh hati dan menitiskan air mata. Apa lagi kala mendengar khutbah raya. Aduhai pilunya hati. Lalu teringat kepada yang jauh dan yang telah pergi tidak kembali.
Selesai solat, beramai-ramai pula ke tanah perkuburan untuk berdoa dan menziarah pusara mereka yang telah tiada. Tentu syahdunya saat itu.
Mengingatkan diri Irda dan juga pembaca semua, biar di mana pun kita berada sambutlah Hari Raya dengan penuh keinsafan.
Hargailah kemenangan kita menempuh dugaan Ramadan juga melepasi tempoh ujian Allah menahan lapar dan dahaga serta menggandakan amal ibadah dan jariah.
Aidilfitri juga mengundang ikatan kasih yang bakal mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita. Aidilfitri bukan bulan berpesta.
Pada hari bahagia ini, keluarga yang telah lama tidak berjumpa akan bersua kembali. Anak yang lama menghilang muncul semula dengan pelbagai kisah suka duka Aidilfitri.
Jangan lupa berkunjung ke rumah saudara tua untuk bertanya khabar dan bermaaf-maaf atas segala salah silap yang mungkin tidak kita sedari.
Yang jauh didekatkan, yang dekat dimesrakan dan yang berbalah disatukan. Itulah fitrah manusia, tiada ada yang sempurna.
Irda gembira melihat trend balik kampung berhari raya masih diteruskan walaupun ada yang mengatakan ia tidak relevan lagi.
Pada Irda, balik kampung pada hari raya berbeza dengan balik kampung pada hari-hari biasa mahupun musim cuti sekolah. Keseronokan dan indahnya tidak sama. Syahdu Syawal juga tidak serupa.
Rugi bagi mereka yang tidak menghayati keseronokan balik kampung pada hari raya. Juga mereka yang asyik terbang ke luar negara dan bercuti setiap kali Syawal datang.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung adalah pepatah yang tepat dihayati kiranya kita mengaku masih sayangkan kampung halaman dan negara tumpah darah.
Kenapa mesti lari daripada menghayati erti Aidilfitri ini? Tergamakkah membiarkan ibu bapa menunggu kepulangan kita dengan air mata pada hari bahagia ini?
Sanggupkah kita melupakan kenangan manis zaman kanak-kanak menyambut raya di kampung dan jasa orang tua yang melahir, mendidik dan membesarkan kita?
Inilah saatnya kita menghargai mereka. Inilah masanya kita mencium tangan kedua-dua mereka memohon ampun maaf di atas segala jasa dan pengorbanan.
Bayangkan bagaimana anak-anak yang tidak punya ibu bapa menangis di pagi Syawal kerana rindukan ayah ibu. Sedangkan kita yang masih punya ibu bapa mengabaikan saat manis itu.
Aidilfitri juga hari memanjangkan silaturrahim. Oleh itu jangan ketinggalan membawa keluarga berkunjung ke rumah saudara mara. Sambil beraya, bermaaf-maafan sambil mengenali keluarga lebih dekat lagi.
Ingin juga Irda sentuh tentang fesyen pakaian menyambut hari raya sejak akhir-akhir ini yang semakin tersasar.
Pelbagai fesyen muncul untuk memeriahkan musim perayaan. Sayangnya keghairahan memilih dan memakai pakaian tradisional di kalangan remaja dan orang moden hanya sekadar gimik dan tidak selari dengan keistimewaan fesyen itu sendiri.
Irda katakan begitu kerana kebiasaannya masyarakat khasnya generasi muda hanya memakainya untuk ke masjid bersolat raya sahaja.
Menjelang tengah hari hari raya pertama, fesyen tradisional sudah terlucut daripada badan, alasannya panas dan tidak selesai.
Yang jadi pilihan tetap seluar jeans dan kemeja-T atau baju moden mengikut fesyen semasa, cantik, seksi, berjenama dan yang penting, menepati cita rasa masa kini.
Pada saat bahagia seperti Hari Raya Aidilfitri, jangan diguris hati atuk dan nenek dengan memilih hotel sebagai tempat tinggal apabila balik kampung. Jangan timbulkan isu nyamuk banyak, air kotor, tidak ada TV satelit mahupun bilik pendingin hawa di rumah nenek sebagai alasan tidak menginap di rumah mereka apabila pulang ke kampung.
Buruk-buruk pun itulah 'istana' yang membesarkan ibu dan ayah kita sehingga menjadi manusia. Tanamkan ingatan itu pada diri kita supaya kita sedar akan asal usul.
Kepada ayahanda bonda tercinta, salam Aidilfitri dan mohon diampunkan segala salah dan silap, halal makan minum. Juga kepada semua keluarga yang tersayang..
Juga saudara mara dan kawan-kawan di mana sahaja berada. Kepada sahabatku, JULIE,USAMAH,MAEYIE, mohon kemaafan di atas segala salah dan silap, terlanjur kata tersinggung rasa. Bukan niat disengaja sekadar luahan berkongsi cerita.
Menutup catatan terimalah dua rangkap pantun daripada Irda:
Syawal muncul, Ramadan pergi
Bahagia disambut penuh erti
Mohon kemaafan seikhlas hati
Agar Aidilfitri dirahmati Ilahi
Cantik berseri bunga api
Seri pelita malam tujuh likur
Semua berkumpul turut merai
Diiring doa penuh rasa syukur.
Salam
apa sudah jadi madani!?
-
*SUAMI MATI KERANA MEMPERJUANGKAN KEDAULATAN NEGARA!?*
*WALAUPUN SUAMI BERJASA, *
*UNDANG-UNDANG TETAP UNDANG-UNDANG*!?
*BELUM ADA PINPINAN SABAH YANG ...
2 days ago